Friday, April 18, 2014

ISU AIR : SELANGOR HARUS DITADBIR SECARA BERSAMA

Kenyataan Umum
18 April 2013

ISU AIR : SELANGOR HARUS DITADBIR SECARA BERSAMA

Pertama sekali tahniah diucapkan kepada Dewan Undangan Negeri Selangor kerana tampil berbeza dengan sidang DUN negeri lain . Sidang DUN Selangor berlansung panjang dan penuh perbahasan yang penuh semangat berbeza dengan sidang DUN negeri dibawah Bn yang walaupun banyak isu muncul dalam negeri tersebut tetapi ada yang hanya berlangsung sehari sahaja.

Perbahasan dan soalan kepada kerajaan negeri bukan sahaja diasak oleh pembangkang Selangor (Bn) sebaliknya di pihak parti kerajaan juga. Ini membuktikan betapa DUN Selangor itu benar - benar dimanafaatkan dan subur nilainya.

Namun di satu pandangan lain ia juga boleh dilihat dari segi ada sesuatu yang tidak kena jika asakan itu lebih hebat dari pada sebelah kerajaan sendiri. Sidang DUN yang sedang berlangsung minggu ini menyaksikan beberapa isu yang dibangkitkan antaranya isu rundingan air.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diasak bertalu-talu oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor sewaktu usul supaya kebajikan rakyat Selangor dijamin  dalam pelaksanaan loji rawatan Langat 2 dibentangkan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku). Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa, kiri) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) seorang demi seorang menghamburkan soalan kepada Khalid sewaktu membahaskan usul itu.

Yeo sewaktu mencelah ucapan Khalid menyifatkan suasana rundingan penstrukturan air dengan pusat dan pembinaan empangan Langat 2 ibarat berlangsung di dalam 'kotak hitam'.

"Rundingan ini ibarat berlaku di dalam kotak hitam..." kata Yeo yang tidak sempat menghabiskan kenyataannya dan dipotong Khalid.

Ini dari kaca mata rakyat sudah tentu ada yang tidak kena. Persoalan yang muncul sudah tentu, adakah keputusan sepenting rundingan air tidak dibincangkan diperingkat exco dan diperturunkan diperingkat wakil - wakil rakyat kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan itu sendiri (PR).

Benar antara faktor pemilihan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar ialah kerana sosok selaku ahli korporat berjaya. Malah dalam sidang dewan ketika perbahasan hujah ini juga digunakan olehnya.

"Rekod lampau saya dalam pelaburan, perolehan (syarikat), dan penggabungan saya rasa boleh membantu perbincangan ini.

"Saya tak boleh jadi orang perantara, (dan kemudian) nanti saya balik ke dewan (untuk berbincang) tambah Khalid lagi dalam perbahasan tersebut.

Namun Khalid perlu sedar dia kini bukan lagi mengapalai sebuah syarikat korporat yang hanya berasaskan keuntungan dan menjaga kepentingan pemegang saham sebagai keutamaannya. Dia harus sedar dia kini Menteri Besar mewakili sebuah parti (PKR) dan gabungan parti (PR). Jawatan Menteri Besar yang mentadbir sebuah kerajaan yang penuh risiko dengan serangan dan faktor penting Kerajaan Selangor ini ditadbir oleh gabungan politik berbeza dengan Kerajaan Pusat.

Selaku Ketua Kerajaan Selangor ia perlu berbeza dari Ketua syarikat Korporat. Ia perlu keputusan bersama dan keputusan bersama itu harus difahami bersama oleh semua pihak yang bersama dalam mendirikan Kerajaan Selangor itu.

Jika dalam dewan di pihak kerajaan (wakil PR) sendiri bangkit dan mempertikaikan malah menyebut dengan jelas bahawa rundingan air seumpama dalam 'kotak hitam' yang tidak diketahui maka sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Itu baru pertikaian dalam dewan bagaimana dengan cakap - cakap di kedai kopi (kalangan rakyat biasa) ? Ini perkembangan yang membimbangkan.

Bukan mempertikaikan keputusan dalam rundingan tersebut betul atau salah tetapi sekali lagi menegaskan ia perlu dibuat secara bersama dan difahami bersama. Khalid perlu faham dalam keadaan dia sedang memutuskan rundingan air bersama kerajaan pusat, ketika yang sama usaha sabotaj dalam isu air oleh kerajaan pusat terus berlangsung malah diperhebatkan.

Ketika memulakan langkah perjuangan ini tidak ada sesiapa yang sangka pun Bn akan tumbang di Selangor, malah bukan sahaja Bn malah parti - parti yang akhirnya bergabung dibawah PR tahun 2008 juga terkejut dengan keputusan PRU ketika itu. Kemenangan PR di Selangor usaha perbagai pihak. Kemenangan PR di Selangor perlu dikekalkan dan diisi dengan pengurusan secara berpasukan dan difahami oleh semua rakan pasukan.

Harus dipuji perbagai pencapaian kerajaan Selangor yang jauh lebih baik dengan Kerajaan Bn sebelum itu malah tidak segan untuk mengatakan Selangor antara negeri terbaik pentadbirannya dalam negara buat masa ini tetapi pasukan bola sepak dunia yang dibarisi bintang terbaik dunia pun boleh kalah jika tidak ada kerjasama dan saling memahami.

Ini baru isu air sebagai contoh terhadap perbagai isu lain. Sesuatu perlu dilakukan segera, isu ini (kelemahan) perlu diatasi segera. Ambillah pengalaman negeri yang pernah parti - parti gabungan PR menangi secara PR atau sebelum itu

Sekian sekadar pandangan yang ingin melihat Selangor sebagai pembuka pintu ke Putrajaya.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, April 16, 2014

Majoriti yakin Putrajaya tidak jujur terhadap rakyat isu MH370

Kenyataan Umum
16 April 2014

Majoriti yakin Putrajaya tidak jujur terhadap rakyat isu MH370

SolidaritiAnak Muda Malaysia (SAMM) mengajak semua mengambil serius dapatan dari kajian terbaru Merdeka Centre berkenaan isu kehilangan pesawat MH370.

Dalam respon kepada soalan sama ada responden menyangka Putrajaya jujur atau menyembunyikan sesuatu mengenai MH370, 54% daripada responden berpendapat Malaysia menyembunyikan maklumat. Selepas lebih lima minggu pesawat hilang, ternyata rakyat Malaysia juga cenderung mempercayai Putrajaya tidak jujur berhubung maklumat berkenaan pesawat itu.

Kali ini, responden dari kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bersatu dalam mempercayai Putrajaya kurang jujur dalam mendedahkan maklumat berkenaan MH370.

Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut etnik, jantina dan umur, serta meliputi semua kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Kajian itu dijalankan dari 24-30 Mac dengan pemilihan responden berkadar dengan penduduk di setiap kawasan Parlimen.

Malah dapatan survey yang sama mendapati ekoran dari peristiwa MH370 lebih 45% rakyat mula hilang keyakinan terhadap Putrajaya.

SAMM pada 4 April 2014, jam 9 pagi melalui kenyataan media telah dengan tegas menggesa Perdana Menteri, Najib Razak agar bercakap benar di depan rakyat. SAMM dan majoriti rakyat mula sedar kes kehilangan MH370 ini bukan kemalangan trajedi biasa sebaliknya satu kes rampasan pesawat melibatkan pertembungan kuasa besar dunia dan semua termasuk Malaysia menjadi mangsa. 

SAMM sedar Najib sedang tersepit dalam pertembungan kuasa besar. Najib sedang berusaha menyelamat keadaan sebaliknya dia tidak sedar dengan tidak bercakap benar kepada rakyat sendiri akan menyebabkan dia terus tersepit lebih teruk malah meletakkan negara lebih berisiko.

Najib dan para pengampu harus berhenti bersikap negatif dengan menyifatkan semua yang memberi pendapat bercanggah sedikit dengan skrip beliau dilihat sebagai tidak patriotik dan harus dihukum termasuk dibuang kerakyatan.

Kepada Najib kami tahu kamu juga tersepit tetapi ini berlaku kerana ia berpunca dari kelemahan pentadbiran sendiri. Ingatkah kita cerita agen CIA dalam pejabat Peguam Negara yang cuba disapu dibawah karpet ? Malaysia menjadi lemah kerana kita dihimpit, diugut kiri dan kanan. Malah watak utama negara yang punya kes bunuh juga pernah diugut sehingga tanah negara terpaksa diserahkan pada jiran.

Amat lemah, Malaysia hanya mencari mengikut cakap - cakap negara lain. Bayangkan ketika radar Malaysia sudah mengesan pusingan pesawat tersebut tetapi beberapa hari awal kita membuang masa mencari di Teluk Siam, sedangkan kita tahu ia sudah melintasi negara semula.

Persoalanya adakah kita lemah atau Najib sedang dihimpit permainan politik kuasa besar dunia ?

Najib, ketahuilah kamu bahawa China sedang marah bukan sahaja kerana kehilangan warganya tetapi kehilangan sesuatu yang bernilai buat negaranya. Kuasa besar ekonomi ini boleh menghimpit negara kerana kelemahan kamu mengendalikan isu ini. Najib, kamu tidak perlu berselindung. 

Bercakap benarlah dihadapan rakyat. Tidak perlu kamu membaca skrip tulisan pihak lain seperti 'ia berakhir di Lautan Hindi' dan kemudian cuba dimanipulasi oleh sepupu kamu dengan mengatakan "PM tak sebut pesawat terhempas".

Percayalah akibatnya nanti tidak terjangkau oleh pemikiran kamu, Malaysia bakal hilang syarikat penerbangan kerana saman dari seluruh dunia, negara bakal menerima tekanan hebat dari perbagai segi.

Najib, kami sayangkan negara ini. Kami tahu kamu terhimpit dan tampillah dengan bercakap terus terang kepada rakyat. Kuasa besar mana pun kami akan bersedia berdepan tetapi kamu perlu beritahu perkara sebenar kepada rakyat atau kamu selesa menjadi memainkan peranan selaku watak boneka lemah semata - mata. 

Kita mungkin berbeda pandang dalam banyak isu di dalam negara ini tetapi dalam isu mempertahankan negara ia tidak ada kompromi cuma berani tampil dan bercakap benar dengan kami.

Sekian

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, April 14, 2014

Delegasi 6 Hari 5 Malam ke Dubai: SAMM Tuntut Penjelasan Penuh

Kenyataan Media
14 April 2014

Delegasi 6 Hari 5 Malam ke Dubai: SAMM Tuntut Penjelasan Penuh

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Pendidikan menjelaskan kepada umum mengenai lawatan TPM 6 hari 5 malam ke Dubai dari 8-13 April lalu.

Merujuk kepada maklumat jadual penuh Timbalan Perdana Menteri ke Dubai yang dibocorkan oleh penjawat awam, TPM didapati hanya mempunyai urusan rasmi selama 4 jam iaitu pada 9 April yang melibatkan Kementerian Pendidikan. Selebihnya hanya ditulis sebagai 'private program' dan 'free program' pada 10, 11 dan 12 April 2014.

Jadual yang dibocorkan itu akhirnya diakui sebagai draf awal dalam satu penjelasan oleh pihak menteri terbabit. Dalam penjelasan yang sama, pihak menteri bertanggungjawab tidak menyebut aktiviti pada tarikh 10 dan 11 April, hanya memaklumkan TPM menyertai satu acara golf rasmi yang dianjur oleh Tourism Malaysia pada 12 April 2014.


SAMM menegaskan bahawa lawatan kerja yang terlalu panjang ini adalah satu pembaziran wang rakyat. SAMM juga menuntut penjelasan penuh termasuk beberapa persoalan yang perlu dijawab, antaranya;
  • Nyatakan berapa jumlah delegasi termasuk staf kementerian, keluarga, setiausaha politik dan sebagainya.
  • Berapa jumlah perbelanjaan, penginapan, tiket-tiket penerbangan / sewaan jet peribadi ke atas semua delegasi TPM dan keluarganya selama 6 hari dan 5 malam di Dubai?
  • Mengapa lawatan kerjarasmi ini mengambil masa terlalu lama untuk satu lokasi/negara?
Ketika negara menghadapi jumlah hutang yang kritikal sehingga memaksa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenal, pembaziran umpama penganjuran satu percutian mewah tetap berlaku di kalangan menteri. 

Ketika yang sama, rakyat sedang berkira-kira menyusun atur kehidupan meninggalkan kesenangan dan masa lapang untuk survival menghadapi cukai GST.

Bagi SAMM, situasi 'wasattiyyah songsang' yang diamalkan oleh menteri ini meninggalkan rakyat tidak banyak pilihan selain turun ke jalanraya pada tarikh yang paling afdal, iaitu Hari Buruh 1 Mei 2014.

Dari KLCC ke Dataran Merdeka, 
Buruh Tani Mahasiswa Miskin Kota Berarak Bersama

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

PENJAWAT AWAM JANGAN GENTAR TERUS BOCORKAN MAKLUMAT SALAH LAKU

Kenyataan Media
14 April 2014

PENJAWAT AWAM JANGAN GENTAR TERUS BOCORKAN MAKLUMAT SALAH LAKU

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam ugutan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam yang menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan. 

Memang benar penjawat awam perlu menjaga etika kerahsiaan demi kepentingan negara, malangnya pemimpin regim pemerintah kini sedang menggunakan etika kerahsiaan itu demi melindungi kegiatan salah laku yang lebih merugikan negara dan rakyat terbanyak.

Ali Hamsa mengugut penjawat awam sebagai respon ketika diminta mengulas Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar supaya mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 8 April lepas.

Jadual itu terbukti jadual yang sedang disiapkan untuk lawatan TPM dan ia penuh dengan acara membazir seperti bermain golf dan sebagainya. Maka selepas jadual itu terdedah awal maka ia ditukar. Bukankah yang membocorkan jadual itu telah menyelamatkan wang rakyat ? dan yakinlah jika jadual itu tidak dibocorkan pembaziran akan berlaku.

SAMM dengan ini menyeru semua penjawat awam agar jangan takut untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas disamping terus menjadi telinga dan mata kepada rakyat demi kepentingan negara. Kamu bukan pengkhianat, jika nampak benda salah lalu kamu bocorkan, maka kamu wira rakyat dan negara. Memang ada risiko kerana kamu bekerja dalam regim seperti sekarang ini.

Kepada penerima maklumat pastikan kamu juga punya tanggungjawab bagi merahsiakan dan melindungi pemberi maklumat. SAMM sendiri punya pengalaman membuat banyak pendedahan seperti cincin RM24.4 juta, bukan sikit ugutan dan tawaran untuk mendapatkan siapa pembocor maklumat dalam agensi kerajaan termasuk dalam pejabat Perdana Menteri sendiri sebaliknya SAMM terus memegang janji melindungi pemberi maklumat.

Sekian.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

AIR SARAWAK: KEKAYAAN DIPUNGGAH RAKYAT MERANA

Kenyataan Media
14 April 2014

AIR SARAWAK: KEKAYAAN DIPUNGGAH RAKYAT MERANA

Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 merupakan kesepakatan untuk bersama menjadi sebuah negara berdaulat di antara Malaya (Pada ketika itu) serta Sabah dan Sarawak. Kesepakatan ini menjanjikan kemakmuran dan keselesaan yang bakal dikongsi oleh rakyat terbanyak.

Selepas lebih dari 50 tahun, kerajaan Malaysia diterajui oleh Barisan Nasional masih gagal menyelesaikan masalah berkaitan air bersih di kebanyakkan kawasan di negeri Sarawak. 

Kita menyaksikan hampir 90% dari hasil hutan di Sarawak digondolkan. Begitu juga dengan hasil bumi seperti petroleum dan gas asli yang tuhan kurniakan kepada Negeri Sarawak terus dikaut dengan cebisan keuntungan hanya terpalit pada kroni-kroni terdekat.

Air yang menjadi keperluan asas kepada manusia masih menjadi duri dalam daging kepada masyarakat di Sarawak. Andai di kawasan pedalaman alasan utama adalah logistik untuk pemasangan infra bagi agihan air, apa pula alasan kepada masyarakat di kawasan hampir bandar dan dalam kawasan bandar. Masalah air bukan masalah baru. Ia telah berlanjutan sekian lama.

Bagi menutup masalah air bersih kerajaan negeri Sarawak, setiap kali pilihanraya kecil negeri kerajaan akan menghadiahkan 'tangki 1Malaysia' kepada penduduk. Penduduk diminta menyimpan air hujan untuk digunakan. 

Pemasangan infra untuk penyaliran air bersih masih di tahap lama. Bagi kawasan yang sudah mempunyai saliran, mutu air yang disalirkan adalah amat rendah. Keladak dan enapan menjadi sajian harian kepada penduduk. Saban hari SAMM Sarawak menerima aduan berkaitan pencemaran air paip yang disalurkan kepada penduduk Sarawak.

Ke mana perginya peruntukkan tahun 2013 sebanyak RM 1.75 billion untuk program bekalan air terawat? Berapa banyak isi rumah yang mendapat manafaat dari peruntukkan ini?

Projek pembinaan empangan yang sedang berjalan dengan pesat sepatutnya diagihkan untuk membina prasarana agihan air dan peralatan untuk rawatan air, bukan untuk melupus balak semata-mata. Lebih banyak pusat pemerosesan dan rawatan air harus dibina bagi menampung keperluan penduduk Sarawak.

Kepentingan penduduk Sarawak harus diutamakan bagi memastikan kualiti air terawat bagi meningkatkan tahap kesihatan orang ramai dan kualiti hidup masyarakat setempat. 

Keadaan geografi Sarawak yang luas dan penempatan penduduk di banyak kawasan terpencil bukan alasan untuk menindakkan hak rakyat Sarawak. Rakyat Sarawak harus bangun menuntut hak mereka seperti negeri lain, di kala sumber alam negeri Sarawak digondol semahunya.

Siti Norazarizah binti Rahman
Penyelaras bersama SAMM Sarawak

Friday, April 11, 2014

BAGAIMANA RAKYAT MAHU BAYAR GST JIKA MENTERI TERUS MEMBAZIR?

Kenyataan Terbuka
11 April 2014

BAGAIMANA RAKYAT MAHU BAYAR GST JIKA MENTERI TERUS MEMBAZIR?

Sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan khususnya setahun kebelakangan ini, rakyat telah digesa untuk akur menerima cukai baru ini yang dikhabarkan efisyen demi kelangsungan ekonomi negara.

Pelbagai usaha berbentuk promosi yang menelan belanja ratusan juta telah diperhabis demi memberi kefahaman kepada semua betapa GST itu kononnya tidak membebankan rakyat. Lagu GST dicipta dimainkan di televisyen dan corong radio, papan billboard diwarnai dengan kebaikan GST, pelbagai poster dilekat di bermacam tempat awam termasuk dalam LRT dan Tren, dan pelbagai lagi kaedah promosi dengan tujuan untuk menghasut rakyat menerima GST.

Namun rakyat pula saban hari didedahkan dengan pelbagai ketirisan, pembaziran, rasuah dan perilaku tidak amanah dalam pentadbiran kerajaan. Malah kerajaan sering menanggung kerugian dari setiap keputusan kurang bijak dalam memberi tender, akhirnya kos tambahan bernilai ratusan juta ringgit terpaksa dikeluarkan. Antaranya adalah akibat dari kelewatan kontraktor menyiapkan projek, bangunan tidak siap dan bangunan rosak atau runtuh, yang menyebabkan wang rakyat terus mengalir di saluran yang tidak sepatutnya. 

Justeru, promosi GST besar-besaran itu tidak mampu mengambus rencana pentadbiran sebuah kerajaan yang sangat lemah dan menghabiskan wang rakyat.

Laporan audit setiap tahun juga tidak menampakkan perubahan positif. Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dengan 121 kes pula berkemungkinan berdepan tindakan.

Persoalannya, siapa yang berdepan tindakkan itu? Rakyat biasa atau menteri?

Perkembangan terbaru yang menggemparkan parlimen baru-baru ini menjelaskan konsep wasattiyyah yang dilaung oleh Perdana Menteri adalah songsang. Kita sering dengar pembaziran isteri PM, kali ini hasil pendedahan seorang cikgu, dapat diketahui bagaimana Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya pula beraksi melampias wang rakyat di Dubai, Emeriah Arab Bersatu.

Merujuk kepada jadual perjalanan TPM merangkap Menteri Pendidikan di Dubai dari 8-13 April 2014, urusan rasmi hanya sekitar 3-4 jam sahaja iaitu pada 9 April 2014. Apakah baki empat hari lagi dihabiskan di atas padang golf di Dubai? 

Dalam jadual yang sama, tertera perkataan 'private program' dan 'free program' pada tarikh 10, 11 dan 12 April sebelum kepulangan Muhyiddin ke Malaysia pada 13 April.

Apakah segala perbelanjaan, penginapan, tiket-tiket penerbangan delegasi TPM dan keluarganya selama 6 hari dan 5 malam di bumi bertuah UAE terpaksa ditanggung oleh duit rakyat?

Ini suatu pembaziran yang telah disusun dan dihalalkan. Modus operandi pergi ke luar negara untuk urusan rasmi, sambil bercuti sakan. Ini bukan hanya berlaku di kalangan PM dan TPM, tetapi ia berlaku di kalangan semua menteri, menjadi satu kemestian, menjadi satu acara wajib tahunan.

Di atas pembaziran yang melampau, di atas ketirisan yang tidak berkesudahan, bagaimana rakyat mahu menyerahkan wang baki poketnya untuk membayar cukai GST?

Ya benar, sememangnya GST adalah cukai yang telus dan efisyen, tetapi apa yang rakyat Malaysia perlukan hari ini ialah kerajaan yang telus dan efisyen. 

Jika kerajaan tetap bertegas melaksanakan GST, maka rakyat juga perlu bertegas untuk menyambutnya di jalanraya, pada tanggal Hari Buruh 1 Mei 2014.

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM


Thursday, April 10, 2014

Panggilan Media | Hujah Penggulungan Pendakwaan Terhadap Chegubard

Panggilan Media

Kepada tuan/puan editor,

Menjemput semua pengamal media untuk membuat liputan sambungan perbicaraan dan 'Hujah Penggulungan Pendakwaan' terhadap che'GuBard dalam kes himpunan aman di Padang Timur (Amcorp Mall). Berikut adalah maklumat masa dan lokasi mahkamah;

Tarikh: 11 April 2014 (Jumaat)
Masa: 9 pagi
Lokasi: Mahkamah Seksyen Petaling Jaya

Dimaklumkan juga, esok Datuk Johari Abdul turut disapina oleh DPP sebagai saksi pendakwa. Orang ramai juga dijemput hadir untuk memberi sokongan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

Tuesday, April 8, 2014

KATA DUA BUAT PEMERINTAH: TANGGUH GST ATAU HADAPI PROTES GERGASI 1 MEI

KENYATAAN MEDIA | 8 APRIL 2014


KATA DUA BUAT PEMERINTAH: TANGGUH GST ATAU HADAPI PROTES GERGASI 1 MEI

SAMM telah membuat ketetapan menubuhkan Sekretariat GST dengan objetif menjalin kerjasama dengan agensi-agensi perlaksanaan GST tapi agensi-agensi kerajaan gagal untuk menjawab surat permohonan kami. Namun dengan inisiatif sendiri SAMM mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak untuk melihat sejauh mana keperluan perlaksanaan GST.

Setelah beberapa siri bengkel kajian mengenai GST dijalankan dan di atas perbincangan panjang, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tanpa berselindung tidak menolak perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan pembangunan negara. Namun SAMM juga sebulat suara bersetuju bahawa ketika ini Malaysia belum bersedia di atas banyak faktor, antaranya;

·         Ketirisan melampau dalam pentadbiran Negara yang menyebabkan pembaziran harus diatasi terlebih dahulu. Laporan audit setiap tahun menjadi rujukan pelbagai kepincangan yang merugikan negara selain pendedahan pelbagai skandal rasuah yang berakhir tanpa tindakan tegas.

·         Perlaksanaan GST yang tergesa-gesa tanpa menyediakan asas yang kukuh terhadap aspek pendapatan rakyat yang masih lagi tidak meningkat atau berpendapatan tinggi hanya akan menambahkan bebanan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia dikala ketidaktentuan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat tahun demi tahun.

Lebih dikhuatiri, jika cukai barangan dan perkhidmatan GST ini dimulakan dengan 6% pada tahun 2015, SAMM menjangkakan pada tahun 2016 kadar GST akan melonjak pada kadar 8%. Justeru, SAMM percaya dengan kos sara hidup yang melonjak selepas PRU13 lalu

Perkembangan terkini juga menunjukkan dewan rakyat telah melulus perlaksanaan GST dengan sokongan semua ahli parlimen Barisan Nasional, ternyata wakil rakyat yang menyokong GST ini adalah di atas kepentingan tertentu, bukan atas kepentingan rakyat. Ini sekaligus tidak memberikan rakyat pilihan lain, selain memilih jalanraya untuk meluahkan protes bantahan setelah dewan rakyat tidak membantu.

Maka sebagai kumpulan anak muda yang pertahankan rakyat, SAMM memberi kata dua kepada kerajaan Malaysia supaya segera umum penangguhan perlaksanaan GST, atau bakal berdepan lautan rakyat dalam satu demonstrasi gergasi pada 1 Mei 2014.

Sesungguhnya kesabaran rakyat kini amat nipis sekali, rasa hormat terhadap pemerintah sudah tiada lagi memandangkan rakyat tidak pernah dihormati malah hak demokrasinya ditipu demi regim mengekalkan kuasa. Kali ini, wang poket pula ingin dicuri sehabisnya, pasti perlawanan akan berbeza.

Sekian.

Mohd Faizal AB Rahman

Penyelaras Kebangsaan

Sekretariat GST SAMM

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan